Bercakap mengenai cinta, semua orang rasanya dapat mentafsirkan makna kata keramat itu dengan mudah. Hatta anak kecil sekalipun, yang dahulunya tidak faham langsung akan makna 'cinta' itu sudah dengan mudah menyatakan maknanya, sekurang-kurangnya menyebutkan kalimat 'aku cinta padamu'. Apa tidaknya, dalam pelbagai medium penyampaian termasuk cerita picisan tv dan drama, mahupun lagu-lagu, terus sahaja memuja kalimat itu tanpa mengerti istilah yang sebenarnya. Cinta sangat luas takrifnya, termasuklah mencintai si dia, mencintai Allah dan RasulNya, mencintai ibu bapa, dan tidak ketinggalan juga mencintai diri sendiri. Namun, tidaklah bermakna saya mahu menjelaskan satu persatu erti cinta itu, tetapi lebih terarah kepada cinta yang khusus mencintai orang lain. Dalam bahasa mudahnya, mencintai wanita bagi laki-laki atau mencintai laki-laki bagi wanita. Dan haraf maaf, bukan mencintai sejenis.
Rasanya apabila kita mencintai seseorang dengan sepenuh hati kita, kita akan berusaha sedaya mungkin untuk memberikan kebahagiaan kepadanya. Maka, dalam bahasa yang dipetik apapun yang berlaku, kita akan berusaha sedaya upaya untuk dapat kejinjang pelamin bersama si dia. Jadi, sebagai manusia yang normal, tanpa prasangka saya juga termasuk dalam kategori yang sama. Cuma dalam bercinta, kita mungkin akan dihambat oleh pelbagai faktor dan badai yang boleh mengharu birukan pehubungan apatah lagi, apabila cinta yang cuba kita garap dan semai masih lagi tidak berani dikemukakan untuk pengetahuan umum, kerana pelbagai sebab yang kita terpaksa hadapi. Konflik dan arus antara kemahuan diri kita dengan pandangan orang lain yang suka sangat melihat 'kain orang lain carik' berbanding dengan melihat dan membetulkan kesilapan diri, lebih banyak ditonjolkan. Maklumlah, dah menjadi budaya dalam masyarakat kita, sepertinya kita mahu pulak orang lain sama selera dengan kita. Sebab itu lahir lagi pepatah, 'kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak' kerana sifat kita yang seperti inilah.
Sedar dan tidak sedar, oleh kerana kita sudah tidak menghormati rakan kita, maka kita akan terus sahaja memberikan pandangan bahawa bercinta dengan di dia tak boleh, kerana mengikut pendapat kita. Antara sinaran perspektif pandangan yang buta terhadap orang lain ini mampu membunuh sifat dan kejujuran rakan kita sendiri untuk berterus terang dengan kita. Jadilah ia pesimis dan terpaksa berjuang sendiri untuk mendapatkan cintanya tanpa pernah meluahkan isi hatinya lagi kepada kita. Bagaimanapun, hatta arus yang datang ditentang oleh satu dunia sekalipun, percintaan seseorang itu, pasti akan berhasil juga sekiranya telah benar ada dalam takdir dan suratan kasihnya, kita suka ataupun tidak. Jadi, istilah kita memyusahkan diri kita untuk menghalangpun, kalau sudah ada disuratan oleh Yang Maha Kuasa, tetap tidak dapat dielak.
Bagi saya, saya tidak ada satu kudratpun untuk mencapai impian ini. Kerana jiwaku, nyawaku, hidupku, pejam celik mataku, turun naiknya nafasku hanyalah pinjaman dari Allah SWT. Dengan pinjaman itulah aku hidup, kerana orang yang hidup itu adalah mati yang sementara, sementara orang yang mati itu adalah orang yang benar-benar hidup. Jadi dalam cinta ini, aku hanya mampu berdoa itupun, kemampuan berdoa atas izinNya. 'Manusia punya asa, tuhan punya kuasa'tidaklah dapat kita sangkal selalu. Meskipun aku punya cinta, aku punya senjata iaitu doa dan selebihnya, bergantunglah kepada keputusan Allah SWT yang telah tertuliskan atas diriku. Persoalannya, mengapakah kebanyakan dari kita selalu dan sentiasa sibuk memperkatakan itu dan ini untuk orang lain, sedangkan kita telah sedia maklumi tentang rukun iman. Kita sudah sedia maklum tentang ketentuan dan ketetapan, tetapi kita masih tidak sedar akan perbuatan kita menyebabkan ketidakselesaan. Malah bukankah juga benar, berkata yang benar itu sebenarnya adalah 'mengata'sifatnya, dan berkata yang tidak benar berkaitan orang lain itu adalah 'fitnah' sifatnya, dan kedua-duanyapun sama juga berdosa.Minta maaflah kalau saya salah. Pelik tapi benar kebanyakan orang sekarang niee, banyak yang bertopengkan manusia tetapi sebenarnya hipokrit. Baik di luar dan semasa di depan kita tetapi hakikatnya racun yang berbisa. Tapi tak apalah, semua itu juga adalah takdir.
Jadi, layar bahtera tetap diteruskan, apapun yang berlaku dikemudiannya. Semua manusia berhak untuk dicintai dan mencintai, semua manusia berhak punya harapan dan impian. Antara cinta, harapan dan takdir tetap tidak dapat dipisahkan. Kalau tidak dapat bersama apakan daya, kita hanya manusia biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan